Salam Ramadhan
September 2, 2009 Leave a Comment
Salam Ramadan 1430 H / 2009 M
Alhamdulillah, kita akan bersama menyantapi tinta keimanan dan kerahmatan di dalam bulan yang penuh barakah dan rahmat. Para salafus soleh akan sentiasa teruja dengan kedatangan bulan yang penuh dengan keampunan ini. Bulan yang disebut oleh Rasulullah sebagai bulan yang dibuka semua pintu-pintu langit, dirantai semua syaitan. Bulan yang sentiasa dinanti oleh mereka yang inginkan kedamaian jiwa dan ketenangan fikiran.
Namun harus diingat bahawa tanpa persediaan yang terancang mungkin kita akan menemui kebuntuan dan kegagalan dalamm mencari semua yang kita inginkan itu. Di dalam risalah ini ISMA menggariskan beberapa langkah yang perlu diambil oleh semua umat Islam khususnya di Malaysia supaya Ramadan kali ini benar-benar memberi erti dalam menjunjung perintah Allah yang terkandung di dalam ayat 183 surah al-Baqarah yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, telah difardukan kepada kamu puasa sebagaimana yang telah difardukan kepada umat sebelum kamu, moga-moga kamu menjadi orang yang bertaqwa”.
Objektif puasa adalah untuk memperolehi ketaqwaan. Ia merupakan objektif yang disusun oleh Allah untuk diperolehi oleh manusia muslim. Tidak hanya objektif yang dihighligtkan tetapi instrument dan indikatornya juga dilistkan oleh Allah dan RasulNya.
Oleh kerana itu beberapa langkah yang perlu diberi perhatian dan dilaksanakan sepanjang bulan ini adalah:
Memahami dengan betul kaedah fiqh berkaitan dengan ibadat puasa sama ada berkaitan dengan syarat sah, perkara yang membatalkannya dan juga perkara sunat dan harus.
- Meneliti hadis-hadis yang memperihalkan perjalanan dan kaifiat nabi berpuasa.
- Menjadualkan aktiviti yang bermanfaat pada setiap hari di dalam bulan Ramadan.
- Mendampingi al-Quran dengan semaksima mungkin mengenai tajwid, tafsir, tilawah dan hafalan. Target 30 juzu dalam masa 30 hari
- Membaca hadis-hadis mengenai kebersihan rohani melalui kitab-kitab hadis seperti al-Azkar, Riadhussolihin dan lain-lain
- Menjadikan budaya berdoa sebagai satu habit terutamanya selepas solat fardu, ketika berbuka dan khususnya ketika pada qiamullail di waktu dinihari
- Membuat review terhadap sirah dan perjuangan umat Islam terdahulu untuk mengimbau kecemerlangan dan kehebatan mereka mempertahankan Islam.
- Memperbanyakkan sedekah dan hadiah kepada mereka yang berhak.
- Mengadakan majlis berbuka puasa kepada sahabat handai dan ahli keluarga untuk merapatkan hubungan silaturrahim.
- Memastikan kita tidak meninggalkan solat sunat Tarawih dan witir pada setiap malam ramadan
- Menjauhi semampu mungkin sebarang maksiat dan kemungkaran sama ada dari orang lain atau dari diri sendiri yang berkaitan dengan seluruh pancaindera.
- Mengelakkan sebarang pembaziran yang melibatkan wang ringgit, masa dan waktu rehat.
- Berusaha berdakwah dan menasihati diri, ahli keluarga, sahabat, jiran tetangga dan masyarakat supaya komit dengan agama dalam segala aspek.
- Beriktikaf di malam sepuluh akhir Ramadan dalam usaha mendapatkan fadilat malam Lailatul Qadar
- Menunaikan zakat fitrah kerana pengabaian terhadapnya menyebabkan puasa tidak diterima




